>

Utusan Malaysia | Tiga tan abu al-Quran dilupuskan di Laut China Selatan

 
MUFTI NEGERI PAHANG
 Datuk Abdul Rahman Osman

Tiga tan abu al-Quran dilupuskan di Laut China Selatan

Akhbar Utusan Malaysia:5 Oktober 2012

KUANTAN 4 Okt. - Seberat tiga tan abu al-Quran dan bahan bercetak berunsur keagamaan yang lama serta mempunyai kesalahan yang dikumpul dari seluruh negara dilupuskan di tengah laut, tujuh batu nautika dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, di sini hari ini.

Program yang memperoleh kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang (JMNP) dengan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri itu merupakan yang pertama diadakan di Pahang.

Proses pelupusan itu diketuai oleh Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dan disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Mohamad Safri Ab. Aziz dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Program tersebut bertujuan menjaga dan melindungi kesucian serta memberikan kesedaran kepada masyarakat berkaitan pelupusan al-Quran mengikut kaedah ditetapkan Islam.

Abu terbabit yang telah dibakar di Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur itu dibawa ke lokasi pelupusan oleh kapal TLDM KD Pahang.

Abdul Rahman berkata, adalah penting bagi umat Islam menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran yang diiktiraf bagi melupuskan kitab suci itu demi memastikan proses pelupusan dilaksana mengikut syariat Islam.

“Selain dilupuskan melalui pembakaran sebelum abunya dibuang ke laut, kaedah lain seperti membakar dan menanamnya juga dianjurkan Islam kerana pada zaman Saidina Uthman Affan, cara inilah yang diamalkan.