>

Kosmo! | Tiga tan abu al-Quran, kitab dilupus di laut Pahang

 
Program anjuran Mufti Negeri Pahang

Tiga tan abu al-Quran, kitab dilupus di laut Pahang
Akhbar Kosmo : 5.10.2012


KUANTAN – Demi memelihara dan melindungi kesucian al-Quran serta buku berkaitan agama Islam, sebanyak tiga tan abu kitab-kitab suci itu dilupuskan di tengah laut yang terletak tujuh batu nautika dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini semalam.

Terdahulu, al-Quran dan bahan bercetak berunsur keagamaan yang lama atau mempunyai kesalahan dikumpul dari seluruh Pahang sebelum dibakar.

Menurut Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (gambar kecil), program itu julung-julung kali diadakan di negeri itu hasil kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

Jelasnya, abu daripada kitab-kitab yang dibakar di syarikat percetakan Saufi di Cheras, Kuala Lumpur dibawa ke lokasi pelupusan dengan menggunakan kapal TLDM, KD Pahang.