Mufti Pahang : Datuk Abdul Rahman Osman
Lupus al-Quran dengan membakar, nasihat Mufti Pahang
Akhbar Sinar Harian : 5.10.2012
KUANTAN - Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman menasihatkan umat
Islam di negara ini agar menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan
al-Quran yang diiktiraf pihak berkuasa bagi melupuskan kitab suci itu.Beliau berkata ini bagi memastikan proses pelupusan dilaksana mengikut syariat Islam.
Kaedah terbaik pelupusan ialah menerusi pembakaran dan usaha pelupusan
melalui kaedah pembakaran ini sudah dimulakan sejak zaman Saidina Uthman
lagi dan diteruskan sehingga kini, katanya kepada pemberita, di sini
hari ini.Beliau sebelum itu melaksanakan proses melupuskan abu al-Quran seberat
tiga tan yang dibuang kira-kira tujuh batu nautika dari Pangkalan
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tajung Gelang dekat sini.
Abu terbabit dibawa ke lokasi pelupusan oleh kapal TLDM KD Pahang dan program itu merupakan yang pertama di negeri ini. Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata proses pelupusan perlu dilakukan sebaik mungkin bagi menjaga kesucian al-Quran.
"Abu al-Quran yang dilupuskan hari ini membabitkan sejumlah teks serta
kitab lama yang sudah rosak serta mempunyai kesilapan percetakan dan
tidak boleh dibaca yang kemudian dikumpulkan dari seluruh negara oleh
Kementerian Dalam Negeri," katanya.
Beliau berkata proses pembakaran dilakukan oleh pihak Percetakan Soufi di Cheras, Selangor.
Ditanya sama ada perlu diwujudkan satu tapak pembakaran khusus untuk
al-Quran di negeri ini, beliau berkata perkara berkenaan boleh
dipertimbang.
"Tidak dinafikan proses pelupusan ini memerlukan belanja yang besar
namun sekiranya bersesuaian kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan
satu di negeri ini.
"Namun sekiranya pihak Percetakan Soufi masih mampu menampung keperluan
pelupusan, lebih elok serahkan kepada mereka yang mempunyai kepakaran,"
katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri
Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam
Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.- Bernama