BESUT 4 Mac - Penduduk di dua kampung iaitu Kampung Limbongan dan Kampung Raja dekat sini gempar setelah mendapati sejumlah naskhah al-Quran dalam keadaan bertaburan di dua masjid, awal pagi ini.
Kejadian dianggarkan berlaku pada jam 1 pagi tadi. Pintu masjid dipecahkan, Al-Quran diselerakkan dan ada yang dibuang di dalam tandas masjid.
Lebih menyedihkan, selain dimusnah dan dikoyak, sejumlah kitab suci itu turut ditemui dibuang di dalam mangkuk tandas, manakala sejumlah naskhah surah Yassin pula dibuang ke dalam kolah di luar masjid.
Kejadian pertama dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi di Masjid Nasiruddin Shah di Kampung Raja, manakala kejadian di Masjid Limbongan kira-kira pukul 1.30 pagi tadi dan ia dipercayai dilakukan suspek yang sama.
Dalam dua kejadian itu, beberapa tompokan darah turut ditemui pada pintu masjid, dipercayai akibat kecederaan kaki suspek selepas bertindak menendang pintu sebelum menceroboh.